Sunday, 23 March 2014

MISI MH370 TWILIGHT ZONE

FELDA JERANGAU | 24 Mac 2014 Dengan satu harapan besar terzahir dari keprihatinan terhadap nasib menimpa Pesawat MAS MH370 yang masih hilang sejak 08 Mac lalu dan sehingga kini sudah memasuki hari ke 14, masih belum ada petunjuk di mana Pesawat ini berada dan bagaimana nasib 239 penumpang serta anak kapal yang masih hilang.

Kecekalan 56 anak muda dari Komuniti setempat Felda Jerangau yang sanggup menempuh perjalanan sukar menyusuri hutan belantara " Twilight Zone " di Hulu Dungun selama 2 hari 1 malam bukanlah perkara yang mudah.

Dengan perjalanan selama 6 jam, bermotosikal, pastinya sesuatu yang sukar, apatah lagi melalui jalan balak yang ditinggalkan. Perjalanan peringkat pertama sejauh 50 km melalui jalanraya dari Felda Jerangau ke Kampung Pasir Raja tiada halangan dan hanya mengambil masa 1 jam.

Cabaran bermula apabila kumpulan misi ini memasuki jalan tanah merah sejauh 18km dan menharungi 5 jam perjalanan dengan lurah kesan air yang dalam serta perlu melintasi anak sungai tanpa jambatan dengan tebing yang agak tinggi dan curam. Dengan keadaan cuaca yang kering menyebabkan debu menjadi sebahagian halangan dan memerlukan mereka mengawal motosikal dengan penuh berhati-hati.

Seawal jam 8:00 pagi peserta misi ini berkumpul di perkarangan Sekolah Rendah LKTP Jerangau untuk mendengar taklimat yang diberi oleh ketua Misi, Saudara Anuar Omar. Sebahagian peserta ini bernaung di bawah Kelab Kudder Tayar Butter ( KTB ) yang mereka tubuhkan untuk anak muda kampung ini yang meminati aktiviti lasak bermotosikal.

Misi " #PRAY FOR HM370" oleh KTB ini mencuri perhatian beberapa pemimpin masyarakat dan penduduk setempat.
Yang Berhormat Ustaz Wan Hassan Md Ramli, Ahli Parlimen Dungun, memuji usaha ini dan cara simpati diterjemahkan dalam bentuk usaha murni sebegini wajar diteruskan.

"Saya kagum dengan cara sebegini yang ditunjukan oleh 56 anak muda dari Felda Jerangau dapat mewakili masyarakat Daerah Dungun bersama seluruh masyarakat dunia yang sedang berusaha mencari Pesawat MH370 yang masih tidak terjawab dan tidak mustahil terhempas di laluan ini" ujar beliau semasa ditemui oleh wakil KTB di Lobi Bangunan Parlimen.

Pengurus Tanah Rancangan Felda Jerangau, Md. Aslam bin Jahangir Khan, yang memberi ucapan semasa melepaskan konvoi misi ini berharap usaha ini berjaya dan beliau kagum dan bangga dengan usaha ini dan menasihati peserta misi agar mematuhi segala arahan ketua misi dan menjaga keselamatan.

Setelah 34 jam misi ini meredah dan berada di hutan belantara dan sampai ke lokasi mereka akhirnya selamat sampai ke kampung Felda Jerangau jam 6:00 petang 23 Mac dengan rata-rata peserta puashati dan bersyukur kerana usaha ini berjaya masuk dan selamat keluar dari belantara.

Mohd Shukri Salim, salah seorang peserta misi merasa puas dan dapat menimba pengalaman baru yang sukar dikongsi apabila berada di hutan belantara yang sebelum ini beliau hanya mendengar cerita tentang hutan ini. " walaupun kami gagal mengesan sebarang tanda dan petunjuk kapal terbang terhempas di kawasan ini tapi kami sangat berpuas hati" ujar beliau yang masih keletihan.





No comments:

Post a Comment