Tangan Ghaib Lenyapkan Usul Muktamar?
Muktamar Pas ke-60 tiada melabuh tirainya lagi . Jika mengikut jadual asal muktamar akan diselesaikan sabtu sekitar jam 2 petang. Sepanjang hari Jumaat penuh dengan hulubalang negeri berhujah menyokong ucapan dasar dengan pelbagai nada pujian, sindiran dan kutukan.
Seawal Pengerusi Tetap berpantun memulakan gelanggang tahunan, suasana pagi sehingga rehat tengahari sungguh menarik dan memaksa pemerhati terus setia tanpa beranjak seolah ada sesuatu yang mereka tunggu.
Bila tiba masa pembentangan usul dari Pas Pusat bersama muslimat di bentang untuk dibahas mengenai akta hasutan, ianya agak tenang seakan memberi perwakilan merehatkan minda mereka yang seharian dimomok dengan ucapan-ucapan berapi-api.
Lantas memberi tanda tanya kepada perwakilan mengenai usul Dewan Pemuda dan Muslimat yang diluluskan sebulat suara dalam persidangan mereka sehari sebelum Muktamar penuh bermula. Usul agar Jawatankuasa Disiplin Parti mengambil tindakan terhadap 2 ADUN PAS yang dilihat tidak wala’ dengan Keputusan Presiden Parti dalam kes Menteri Besar Selangor.
Bukan hak eksekutif Jawatankuasa usul dipertikai, tetapi penolakan usul yang diluluskan oleh Dewan-dewan sayap kanan parti ini dipersoalkan. Ini bagai mengesahkan cakap-cakap sebelum ini yang tersebar tentang perancangan sulit dan ” melindungi ” dua ADUN ini seolah kebal serta selamat dari tindakan.
Jika usul dari kawasan ditolak, ini perkara biasa. Jika usul dari Dewan ditolak, ini memang luar biasa dan menimbulkan persoalan besar yang bakal menghakis keyakinan ahli serta kewibawaan mereka yang mengetuai Jawatankuasa ini dipersoalkan.
***Naraza Muda adalah aktivis Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) Terengganu yang juga Ketua Penerangan PAS Dungun
No comments:
Post a Comment